Social Icons

Pages

BULETIN 247

Tuesday, August 29, 2017

PERTELINGKAHAN DALAMAN PKR, ZAHID HAMIDI PULA DISERET SEBAGAI 'PEMBELA' RAFIZI RAMLI!!!



Rafizi Ramli mengakui, individu yang diserang oleh Latheefa Koya secara aktif menerusi media sosial adalah dirinya. Dan lebih menarik lagi ialah apabila Rafizi Ramli mengakui, dia cuba dikaitkan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Pemangku Timbalan Presiden UMNO, Zahid Hamidi. 

The Star Online melaporkan, Rafizi berkata, tuduhan dan dakwaan kononnya dia telah dibeli oleh Datuk Seri Zahid Hamidi telah dibuat oleh sekumpulan orang di dalam PKR dalam kempen senyap mereka menentangnya. Kononnya, Zahid telah membelinya dan Rafizi bersetuju untuk menjual diri sebagai pertukaran agar tidak dipenjarakan.


Rafizi bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut dan berkata dia tidak akan menjawab segala tuduhan Latheefa memandangkan "satu dunia telah tahu yang tuduhan-tuduhan tersebut tidak benar."

Latheefa membuat beberapa tuduhan serius yang mendakwa Rafizi berterusan menipu menggunakan angka-angka palsu dan telah menyelewengkan wang derma, membuat janji-janji palsu dan terlibat dalam politik wang untuk membeli sokongan.


Sementara itu, Rafizi telah menamakan Azmin, Tian Chua, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Xavier Jeyakumar, Dr. Shaharuddin Badaruddin, Zuraida Kamaruddin, R. Sivarasa, Saifuddin Abdullah, Kamaruddin Jaafar dan Fahmi Fadzil antara mereka yang kuat menyokong kerjasama dengan PAS.

Manakala William Leong, Saifuddin Nasution, Nik Nazmi Nik Ahmad, Tan Yew Kew, Syed Ibrahim Syed Noh, Johari Abdul, Sim Tze Tzin dan Fariz Musa adalah mereka yang menentang cadangan untuk menjalinkan kerjasama semula dengan PAS.

Rafizi Ramli yang kerapkali berjaya menenggelamkan PKR dengan sensasi dirinya, dikatakan mengetuai kumpulan kedua PKR yang digelar sebagai 'Geng Ponorogo' iaitu sebuah kumpulan yang cuba mewujudkan pertelingkahan dan masalah dalam PKR. 


Tidak cukup dengan serangan Latheefa Koya, Siti Aishah Shaik Ismail yang merupakan Ketua Srikandi PKR juga menyerang 'Geng Ponorogo' dengan mengkhususkan Rafizi Ramli. Rafizi disifatkan Siti Aishah sebagai pemimpin yang perasan bagus tetapi gagal mengeja namanya dan nama bapanya dengan betul. 

Menerusi tulisan Siti Aishah, 'Geng Ponorogo' telah menfitnahnya sebelum ini. Dia sendiri mahu menuntut isu fitnah tersebut sehingga ke akhirat!

"Kau eja nama aku dengan bapak aku pun salah ada hati nak mengaku kau pemimpin yang bagus. Ingat kau fitnah aku sebab tak pernah tanya terus pada aku atas segala rumusan yang kau buat. Ini kali kedua kau berhutang maruah dengan aku dan keluarga, semoga akhirat kau cari aku."

Pertelingkahan antara fraksi-fraksi dalam PKR, bukanlah satu perkara yang asing. Ironinya, dalam setiap pertelingkahan dan perbalahan mereka, UMNO dan beberapa orang pemimpin utama UMNO akan ditarik sekali. 

Kali ini, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi pula yang dikaitkan dengan Rafizi Ramli. Hujahnya cukup mudah, Rafizi sedang berhadapan dengan masalah undang-undang dan dia sedang berhadapan dengan hukuman penjara. Sebelum ini, Rafizi telah dipersalahkan kerana akibat daripada Langkah Kajangnya telah mempercepatkan hukuman penjara Anwar Ibrahim, sebagaimana yang didakwa oleh Latheefa Koya. 


Justeru, Rafizi menjadi sasaran mudah dan budak jahat yang perlu dihapuskan. Lebih-lebih lagi, Rafizi sebenarnya mempunyai pengikutnya sendiri yang jauh lebih ramai berbanding peminat-peminat dan penyokong-penyokong PKR. Rafizi juga telah menenggelamkan banyak nama-nama lain yang dianggap lebih besar dan lebih berwibawa, bahkan lebih kanan dan lebih senior di bahu Anwar Ibrahim.

'Kehebatan' Rafizi Ramli itu dilihat berlaku kerana adanya bantuan dari pihak lawan. Tumpuan yang diberikan kepada Rafizi dilihat amat keterlaluan sehingga dia dilihat lebih besar daripada PKR apatah lagi pemimpin-pemimpin utama PKR. Rafizi mungkin bukan Setiausaha Agung PKR lagi tetapi perhatian dan kepercayaan para pengikut kepada Rafizi, jauh lebih besar berbanding yang diterima oleh PKR dan saf kepimpinan utama PKR.

Siapa lagi pihak lawan yang lebih besar dan lebih berpengaruh selain daripada pemimpin UMNO. Dan lebih mudah untuk mencetuskan kebencian terhadap pemimpin dalam parti seperti PKR dengan mengaitkan individu tertentu dengan pemimpin-pemimpin besar dari UMNO.

Rafizi mungkin sudah terkena ulah itu setelah sekian lama dia juga sebahagian daripada sistem 'SEMUA SALAH UMNO.'


No comments:

 
Blogger Templates